17 Nov 2014

PEMBANGUNAN INSAN MELALUI PENDIDIKAN BERKUALITI

PEMBANGUNAN INSAN MELALUI PENDIDIKAN BERKUALITI
Tugasan Blog: SYW502 Pembangunan Sahsiah Untuk Pengurus Institusi
Oleh: Wan Nornajwa Binti Wan Othman
PSM0114/13

PENGENALAN

Pendidikan dilihat sebagai medium penting dalam proses pembangunan insan. Pembangunan insan melalui pendidikan adalah bertujuan untuk melahirkan insan yang berpengetahuan dan mempunyai kemahiran untuk mencapai kemajuan. Namun, bagaimanakah pendidikan yang benar-benar mampu membangunkan insan? Sejauh manakah pendidikan yang diamalkan dapat membangunkan insan untuk mencapai al-Falah? Kedua-dua persoalan ini ditonjolkan bagi menimbulkan intipati tentang perbincangan artikel. Oleh itu, artikel ini ditulis mempunyai tiga bahagian utama. Bahagian pertama mengenai pengenalan, bahagian kedua mengenai pendidikan berkualiti, silibus pendidikan berkualiti dan insan al-Falah. Bahagian terakhir adalah bahagian penutup.

PENDIDIKAN BERKUALITI

Kualiti dalam pendidikan ditekankan dalam artikel ini kerana kualiti membawa pelbagai maksud yang baik menurut tokoh-tokoh Barat dan Jepun. Kualiti menurut mereka bermaksud produk atau perkhidmatan yang ada ciri-ciri komersil (Shewhart), memenuhi kehendak pelanggan (Crosby, Ishikawa, Deming & Feigenbaum), sesuai untuk kegunaan (Juran), berdaya saing (Ishikawa), tanpa kecacatan (Crosby & Shingor) dan menghampiri kesempurnaan (Shingor & Taguchi). Menurut Asmawati Suhid (2009), pendidikan pula merupakan wadah untuk mengembangkan potensi insan secara menyeluruh sama ada dari segi kognitif, afektif, psikomotor rohani dan sahsiah. Sebelum ini juga, Muhammad Syukri Salleh (2003) telah memberi penjelasan tentang penjagaan kerohanian insan meliputi aspek penjagaan hati, akal dan nafsu. Justeru, dapat disimpulkan maksud pendidikan berkualiti ialah saluran memperbaiki insan ke arah kebaikan melalui proses yang dilakukan secara komersil, memenuhi kehendak, bersesuaian, kompetitif dan sempurna.

SILIBUS PENDIDIKAN BERKUALITI

Menurut Islam, pendidikan berkualiti tersebut perlu memfokuskan silibus yang mempunyai asas tauhid, ibadat dan akhlak kerana ketiga-tiga komponen ini merupakan prinsip-prinsip utama yang terdapat dalam Islam. Selain itu, silibus pendidikan berkualiti menurut pandangan Islam juga perlu menjadikan ilmu fardhu ain sebagai kerangka dalam pembangunan insan disamping menyepadukan ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardhu kifayah dalam membangunkan insan (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Oleh itu, dua aspek pendidikan berkualiti menurut Islam ialah; pertama, merangkumi prinsip-prinsip Islam. Kedua, pendidikan berkualiti menitik beratkan pendidikan yang menyepadukan ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Rentetan itu, kedua-dua aspek ini merangkumi definisi kualiti yang ditekankan oleh sarjana Barat dan Jepun, Islam juga sudah telah terlebih dahulu memiliki kualiti yang dikatakan sempurna, bersesuaian sepanjang zaman, memenuhi fitrah serta tidak dapat dinafi kerana sumbernya adalah daripada al-Qur’an dan hadith.
                            
Sillibus pendidikan menjadikan pendidikan sesuatu yang berkualiti. Hal ini kerana, silibus pendidikan merupakan kandungan yang ingin disampaikan dan diterima dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, silibus pendidikan berkualiti menurut Islam dibincangkan dalam bahagian ini.

Silibus Pendidikan: Penekanan Aspek Tauhid, Ibadat dan Akhlak

Aspek tauhid, ibadat dan akhlak ditekankan dalam pendidikan berkualiti kerana ketiga-tiga aspek ini merupakan asas kepada prinsip-prinsip Islam. Sehubungan itu, komponen tauhid perlu dipelajari kerana komponen ini merupakan tunjang dalam pembangunan insan. Melalui komponen ini, insan dapat mengenal pencipta (Baharom Mohammad, Ahmad Esa, Mohd Noor Hashim, Mohd Yusop Ab Hadi, Jamaludin Hashim & Nur Fadzillah Hussin, 2008). Seterusnya, melalui komponen ibadat, insan dapat mempelajari dan mempraktikkan amalan atau pekerjaan yang diredhai oleh Allah SWT (Ibn Taimiyah, 2013). Akhir sekali, pendidikan berkualiti yang menekankan komponen akhlak, dapat membantu insan untuk membentuk karakter dan peribadi mulia (Ibn Miskawaih, 1999).

Silibus Pendidikan: Penekanan Kesepaduan Pendidikan Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah

Pendidikan fardhu ‘ain merupakan perkara yang wajib dipelajari oleh setiap muslim manakala pendidikan fardhu kifayah hanya diwajibkan kepada golongan tertentu sahaja, namun sekiranya tidak ada yang mempelajari dan mengamalkannya, hukumnya dikira berdosa. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), ilmu fardhu ‘ain merupakan kerangka asas pembangunan insan yang mengandungi komponen tauhid, fekah dan akhlak dalam usaha melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Tambahan lagi, ilmu yang dikatakan perlu dalam silibus pendidikan ini merangkumi pendidikan berunsurkan tauhid iaitu pendidikan sebegini menjadi akar tunjang agar aktiviti pembangunan yang dilaksanakan tidak terpisah dengan akidah dan rasa kehambaan kepada Allah SWT. Seterusnya, pendidikan berunsurkan fekah pula menyediakan kaedah-kaedah dalam usaha pembangunan sebagai ibadat. Akhir sekali, pendidikan berunsurkan tasawwuf mendidik dan mengajar insan berakhlak dengan sifat terpuji. Ketiga-tiga komponen asas dalam fardhu ‘ain ini tidak boleh terpisah dalam silibus pendidikan berkualiti kerana ketiga-tiga komponen ini bersepadu dengan pendidikan berunsurkan ilmu fardhu kifayah. Sebagai contoh, pendidikan jangka masa panjang (long-life learning) terhadap insan-insan yang berada dalam pengurusan rekacipta grafik dan multimedia. Pendidikan fardhu ‘ain mampu menjadikan insan dalam pengurusan tersebut melaksanakan tugas bukan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan. Pendidikan yang mempunyai unsur ilmu fardhu a'in memberi kemampuan untuk memahami keyakinan dan pergantungan dengan Allah SWT (tauhid), melaksanakan aktiviti dengan mematuhi syariat Islam (fekah) dan ahli-ahlinya mempamerkan karakter dan peribadi mulia semasa melakukan tugasan (akhlak). Setelah pendidikan dan kefahaman fardhu ain diterapkan, perlu ada susulan untuk mempraktikkan ilmu fardhu kifayah. Justeru, syarikat rekacipta grafik dan multimedia perlu diwujudkan dengan merangkumi asas pendidikan berkualiti menurut Islam kepada ahli-ahlinya bagi memberi manfaat kepada masyarakat dari segi penyampaian maklumat, data, kemudahan akses dan lain-lain lagi. Hal ini disebutkan sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Selain itu, syarikat tersebut juga penting untuk ditubuhkan kerana dakwah (ajakan untuk melakukan kebaikan) juga boleh disebarkan melaluinya.

INSAN AL-FALAH

Insan al-Falah bermaksud insan yang berjaya dan mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Sebelum mendapat al-Falah, seseorang insan perlu memperkukuhkan dirinya dengan ilmu pengetahuan bagi mempraktikkan dan melaksanakan sesuatu perkara iaitu amanah selaku hamba dan khalifah Allah SWT. Seterusnya, setelah melalui proses pendidikan, insan tersebut perlu berusaha meletakkan takwa dalam dirinya untuk mendapatkan mardhatillah (keredhaan Allah SWT) seiring mencapai al-Falah. Berdasarkan Surah Luqman ayat ke-12 hingga ayat ke-19, Luqman al-Hakim telah memberi pendidikan kepada anaknya supaya anaknya menjadi insan yang bertakwa iaitu memelihara dan melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya (Ibnu Katsir, 1992). Tambahan lagi, menurut Fadzila Azni Ahmad (2013), ukuran untuk mencapai kejayaan atau al-Falah ialah berdasarkan tahap keimanan insan.

KESIMPULAN

Insan yang berjaya dalam konteks pembangunan insan melalui pendidikan berkualiti ialah insan yang melalui proses pendidikan yang mengubah dirinya dan orang lain ke arah kebaikan, tidak mengira pendidikan yang diterima tersebut diperolehi pada mana-mana tahap usia. Namun, sebaiknya pendidikan yang dilalui insan tersebut perlulah bermula seawal dalam kandungan rahim seorang ibu dan berakhir sehingga insan tersebut menemui ajal. Ibn Khaldun (2000) turut menyatakan tujuan dan tempoh keperluan pendidikan insan.
                         
“Pendidikan dalam Islam adalah untuk beramal untuk akhirat, sehingga insan menemui Allah SWT, dalam keadaan insan tersebut telah menunaikan hak Allah SWT yang diwajibkan ke atasnya dalam agama. Pendidikan juga adalah untuk keduniaan, iaitu untuk manfaat atau persiapan hidup.”

Tuntasnya, untuk membangunkan insan, pendidikan berkualiti yang mengandungi komponen akidah, ibadat dan akhlak perlu menjadi keutamaan kerana ketiga-tiga komponen ini juga merupakan elemen ilmu fardhu ‘ain. Disamping penekanan pendidikan berkualiti melalui ilmu fardhu ain, penekanan terhadap ilmu fardhu kifayah juga perlu disalur dan dijadikan bersepadu. Wajarlah dikatakan pendidikan berkualiti itu terdiri daripada asas ilmu fardhu ‘ain yang mempunyai komponen akidah, ibadat dan akhlak dan kesemua ini disepadukan dengan ilmu fardhu kifayah bagi membangunkan insan untuk mencapai bukan sahaja kemajuan dunia bahkan untuk mencapai takwa, mardhatillah dan al-Falah.

GLOSARI     
        
1.   Kognitif: Kognitif berkaitan dengan aktiviti seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan lain-lain. Menurut Bloom (1956), tujuan utama kognitif ialah pengetahuan, pemahaman, penerapan, analisis dan penilaian.

2.    Afektif: Afektif berkaitan dengan perasaan dan emosi dan tidak melibatkan fikiran. Menurut Krathwol (1964), tujuan afektif ialah penerimaan, respon, penentuan sikap, organisasi dan gambaran perwatakan.
3. Psikomotor: Psikomotor pula berkaitan dengan kemampuan fizikal. Menurut Dave (1970), tujuan utama psikomotor ialah peniruan, manupulasi, ketetapan, hubungan dan pengalaman.

RUJUKAN
Asmawati Suhid. (2009). Pendidikan adab dan akhlak Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.

Baharom Mohammad, Ahmad Esa, Mohd Noor Hashim, Mohd Yusop Ab Hadi, Jamaludin Hashim & Nur Fadzillah Hussin. (2008, Oktober). Pendekatan Tauhid dalam kepemimpinan  pendidikan. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidiikan PKPGB,    Universiti Tun Hussin Onn Malaysia.

Bloom, B. S., Engelhart, M. D., Furst, E. J., Hill, W. H., & Krathwohl, D. R. (1956). Taxonomy of educational objectives: Handbook I: Cognitive domain. New York: David McKay.

Dave, R. H. (1970). Psychomotor levels. In R. J. Armstrong (Ed.), Developing and writing behavioral objectives. Tucson, Arizona: Educational Innovators Press.

Fadzila Azni Ahmad. (2013). Konsep pengurusan institusi pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibn Katsir, al-Hafiz Abi al-Fida’ Isma‘il. (1992). Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 2. Beirut, Lubnan: Dar al-Ma‘rifat.

Ibn Khaldun. (2000). Mukaddimah Ibn Khaldun. Terj. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibn Miskawaih. (1999). Menuju kesempurnaan akhlak (tahdzib al-akhlak wa tathir al-a’raq). Helmi Hidayat (pent.). Jakarta : Mizan.

Krathwohl, D. R., Bloom, B. S., & Masia, B. B. (1964). Taxonomy of educational objectives. Handbook II: Affective domain. New York: David McKay.

Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan islam. Kuala   Lumpur: Zebra.

Ibn Taimiyyah. (2013). Al-Ubudiyyah: being a true slave of Allah. Nasiruddin al-Khattab (pent.). London: Taha Publishers.