11 Jun 2015

Di Ambang Ramadhan

Ramadhan.

Terasa rindu untuk menyambut dan melaluinya. Ruh diri yang kering selalu inginkan sesuatu yang betul memenuhinya. Alhamdulillah, Allah pilih diri ini untuk hadir ke kuliah bulanan di masjid kampung sebelah semalam. 

Di Ambang Ramadhan.

Itulah tajuk kuliah wanita bulanan semalam. Penyampaian penuh informasi dan ilmiah oleh Ustazah Naemah, seorang murabbi di sebuah sekolah agama. Kebetulan, mak dilantik sebagai "pengerusi majlis segera" semalam. Begitulah mak, agak cuak lakunya di awal, tetapi OK sahaja selepas itu. Medan usrah merupakan tempat praktisnya menyusun kata-kata. Tak dinafikan, mak juga banyak membaca. Anak-anaknya jenis ikut mood. Kadang-kadang lancar dan kadang-kadang gugup juga bila disuruh mengawal audiens dengan kata-kata, kecuali Balqis, hebat susun atur kata-katanya sejak kecil. Pengaruh sekeliling mungkin. Miliki sokongan lebih mungkin. Yakin diri lebih tinggi, semestinya. Audiens. Rata-rata audiens kuliah bulanan semalam adalah para ibu dan suri rumah. Hanya kami bertiga sahaja yang muda, itupun kerana ditarik paksa datang oleh mak. Ya, kadang-kadang tarbiah memerlukan paksaan. Sabar sebentar ya diri, untuk kemudian hari. 

(Kuliah di Ambang Ramadhan dalam  mood biografi oleh saya dipetik dari Ustazah Naemah)

Kuliah dimulakan dengan perbandingan surah paling panjang dan surah paling pendek dalam al-Qur'an. Al-Fatihah merupakan penghulu segala surah, mengandungi tujuh ayat manakala al-Baqarah merupakan surah paling panjang, dalam surah inilah disebut dua ayat al-Qur'an berkaitan puasa.



Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertaqwa" (al-Baqarah: 183).

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanyan al-Qur'an. Al-Qur'an adalah petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)" (al-Baqarah: 185).

Ustazah Naemah mengaitkan puasa dengan taqwa dengan menyatakan bahawa puasa merupakan elemen yang benar-benar mendidik manusia berdasarkan ayat 183 surah al-Baqarah. Diterangkan lagi, kalimah taqwa ini sinonim dengan istilah "takut".Takut kepada Allah SWT. Beliau juga memetik maksud yang diberikan oleh almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang memberikan makna taqwa dengan menyatakan sebuah analogi yang cukup mendalam. Analoginya berbunyi:

                                                     "Taqwa itu adalah perhati dan takut.
 Taqwa itu seperti, kita berjalan di 
dalam semak dengan penuh hati-
hati, kerana takut ada ular".

Analogi yang diberikan ini cukup untuk membuatkan saya memahami maksud taqwa. Sebagai peringatan kepada diri bahawa kewajipan berpuasa ini merupakan suruhan Allah SWT supaya hambaNya lebih hampir dan mencapai darjat tertinggi disisiNya. Tambahan lagi, dalam fasa berpuasa juga ada disebut tentang kelebihan malam Lailatul al-Qadr. Malam Lailatul al-Qadr merupakan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun), sekiranya kita mampu mengejarnya. Kesihatan mental juga dapat dipertingkatkan dengan berpuasa kerana dalam bulan ini kita dididik suaya bersabar. 

Sebagai persediaan menghadapi Ramadhan pula, Ustazah Naemah tekankan tentang kebersihan. Saya berfikir juga mengapa beliau menyebut tentang kebersihan sebelum menghuraikan secara lanjut. Beliau mulakan penjelasan dengan menyebut "at-thuhur syatrul iman". Apabila disebutkan secara mendalam, begitu tersentuh sebenarnya. Ustazah sebut, puasa merupakan medan membersihkan diri daripada segala kotoran. Ulasnya, dari segi feqah, taharah dibahagikan kepada dua iaitu taharah zahiriyah (bersih/suci boleh nampak contohnya sekeliling kita-rumah) dan taharah maknawiyah (bersih/suci yang tidak boleh nampak contohnya seperti yang berada pada hati). Begitu besar rupanya makna kebersihan ini. Jadi, ustazah memberikan solusi bagi melaksanakan persediaan ini. Disaran agar hadirin sama-sama menjaga kebersihan luaran seperti mengemas dan membersihkan rumah terlebih dahulu sebelum membersihkan diri dengan amalan-amalan yang dapat meningkatkan pahala. Antara amalan yang disaran untuk membersihkan diri sebelum bermulanya puasa ialah latih diri supaya mengamalkan zikrullah, menyebut nama-nama Allah SWT. Disebutnya kelebihan zikir "Alhamdulillah" dan "Subhanallah". Zikir kalimah "Alhamdulillah" membawa kelebihan memenuhi timbangan mizan manakala kalimah " Subhanallah" merupakan kalimah yang memenuhi ruang antara langit dan bumi ciptaan Allah SWT. 

Kemudian saya sambung persediaan menghadapi Ramadhan dengan meringkaskannya kepada butir-butir berikut:
  • Bersih (dalam dan luar)
  • Solat (perbanyakkan solat kerana "solat itu nur (cahaya)". Biasakan diri untuk menqadha solat-solat wajib yang ditinggalkan antara sedar mahupun tidak >>Qadha solat tidak ada had waktu<<)
  • Perbanyakkan sedekah ("Sedekah merupakan burhan (bukti)". Praktikkan pada diri dengan membuat target untuk bersedekah)
  • Sabar. Banyakkan bersabar kerana sabar itu dhiya' (terang)
  • Perbanyakkan membaca al-Qur'an
  • Ingatan kepada diri, al-Qur'an hujjatu alaika (merupakan hujah ke atas kita). Diperincikan oleh ustazah, apabila seseorang membaca al-Qur'an akan memperoleh pahala besar dan diingatkan juga, Allah SWT melaknat orang-orang yang membaca al-Qur'an tetapi salah huruf dan salah baris. Justeru, seeloknya kita betulkan setiap bacaan al-Qur'an kita

Kuliah bulanan wanita ditutup dengan bait kata, "Allah SWT membeli manusia di dunia. Maksud membeli itu diumpamakan sebagai Allah SWT  menilai kita dengan apa yang telah kita lakukan atau niagakan di dunia".

Sekadar catatan kecil mampu saya tulis. Semoga beroleh manfaat. Segala kebaikan adalah datangnya dari Allah SWT dan segala keburukan dari penulisan ini adalah daripada diri saya sendiri.

Sekian,
Wassalam.

Hamba rindu Ramadhan | Rumah Manis Rumah