20 Aug 2015

Minat, Rezeki & Praktikal

Sejak kecil lagi saya miliki minat untuk menjadi seorang guru. Sewaktu kecil dulu, rumah adalah sekolah, adik-adik dan sepupu adalah anak murid, Jawatan sebagai guru berubah-ubah mengikut keperluan dan kemahuan. Mengapa? Kerana kamilah murid dan kami jugalah pelajar. Minat mungkin datang dari suasana sekeliling, barangkali. Barisan mak saudara dan bapa saudara juga kebanyakannya guru. Mak juga sebelum berkahwin dengan ayah, dia seorang guru taski. Setelah berkahwin dan mempunyai anak, dia menyambung tugasnya sebagai seorang guru dalam institusi rumahtangganya pula. Seawal umur 3 tahun, saya diperkenalkan dengan bahan-bahan bacaan. Alhamdulillah, berkat usaha gigih didikan mak, pada umur 6 tahun anak sulungnya sudah membongkok gigih membaca suratkhabar. Saya tidak bersekolah secara formal pada umur 4 dan 5 tahun kerana menangis bila dihantar ke sekolah. Rumah menjadi tempat persekolahan. Mak juga sebagai guru saya. Guru akhlak, guru al-Qur'an dan guru akademik bahasa Inggeris tahap rendah, guru penasihat diri paling utama sehingga sekarang. Dan diperakui, saya masih perlu belajar.

Begitu juga adik-adik saya yang lain. Cuma yang membezakannya antara sifat malas dan sifat rajin sahaja. Walaupun mak tidak bekerja dan mempunyai peluang mengecapi pendidikan tinggi, banyak waktu dihabiskannya dengan membaca buku. Dia gemar ke hulu ke hilir menangkap dan menyampaikan ilmu. Bila seorang ibu mengamalkan cara hidup sebegitu, semestinya dia ingin anak-anaknya juga menjadi sebegitu! Saya akui, ibu adalah sekolah saya sejak awal usia lagi sehinggalah umur kini yang telah mencecah usia 26 tahun. Pengaruhnya sehingga kini membuatkan saya juga mencintai dunia pendidikan <3

Tiada rezeki saya untuk menyambung pelajaran mengikuti kursus perguruan selepas SPM. Namun, Allah SWT takdirkan saya menjadi tutor di rumah bagi pelajar menengah dan rendah. Dipermudahkan kerana doa dari mak juga barangkali. Disesuaikan kerana Allah SWT maha mengetahui apa yang kita perlukan yang pasti. 

Uniknya, para pelajar di bawah pengajaran saya ini boleh dikatakan pelajar istimewa kerana mereka mempunyai pelbagai ragam dan sejarah. Ada antara pelajar saya yang masih kecil dan comel, belum cukup umur mereka untuk memasuki alam persekolahan. Ada antara mereka ini yang menghidap penyakit kanser, autisme dan disleksia. Kadang-kadang terlintas juga di fikiran saya, mereka ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik mereka bahkan Allah SWT datangkan mereka kepada saya agar saya juga boleh mengambil pengajaran daripada mereka. Masing-masing punyai kisah tersendiri yang kadang-kadang boleh membuatkan hati kita tersentuh tentang kekuasaan Allah SWT yang boleh menjadikan segala hal di dunia ini adalah tidak mustahil dan berada di bawah kekuasannya! InsyaAllah, saya berminat untuk berkongsi tentang perjalanan saya mengajar sebagai seorang hometutor nanti.

Semoga Allah SWT redha.


Paksa diri cintai ilmu | Allahu yusahhil
Rumah manis rumah

No comments:

Post a Comment